Wednesday, July 28, 2010

Terkini: Sidang Media Gabungan PROTES

Sidang Media Gabungan PROTES

Isu : Bantahan Rakyat Terhadap Tindakan Pelarasan Subsidi.

Tarikh: 28 hb Julai 2010.

Jam 12.30 tengahari.

Tempat: Kuala Lumpur Selangor Chinese Assembly Hall. (KLSCAH)

Semua media dijemput hadir.


Terima Kasih atas sokongan anda.

Sekretariat PROTES

Aiman Athirah Al Jundi

Protes disaran jaga mangsa barang naik

Protes disaran jaga mangsa barang naik
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 17 Julai: Gabungan Memprotes Kenaikan Harga Minyak (Protes) yang akan bermesyuarat esok dicadangkan agar memberi fokus bantahan isu kenaikan harga barangan keperluan kepada menjaga hal ehwal golongan yang menjadi mangsa.

Ketua Penerangan Pemuda PAS Pusat, Suhaizan Kayat (gambar) berkata, Protes tidak perlu memfokuskan kepada bantahan kenaikan harga minyak sahaja kerana mana-mana kerajaan yang memerintah negara ini, tiada jaminan minyak tidak akan dinaikkan.

“Mungkin Protes itu sendiri perlu direbranding dengan nama baru iaitu Kumpulan Rakyat Mangsa Barang Naik (Mangsa BN),” ujarnya dalam blognya, http://www.kentong-suhaizan.blogspot.com/.

Beliau berkata, antara contoh tuntutannya adalah mendesak pihak kerajaan memberi subsidi RM500 sebulan terus kepada golongan keluarga berpendapatan rendah.

Tambahnya, formula menentukan mereka yang layak dan mekanisma pemberian perlu dirangka oleh pihak kerajaan.

“Keduanya, menghentikan subsidi kepada Penjanakuasa Elektrik Persendirian (IPP). Ketiganya, sebagai simbol penjimatan maka gaji semua menteri dipotong 20%,” ujarnya.

Keempat, tambahnya menambah peruntukan Jabatan Kebajikan Masyarakat yang membiayai fakir miskin, ibu tunggal dan anak yatim dan kelimanya menghapuskan rasuah sepenuhnya.

“Semoga altenatif ini boleh membantu mereka yang memerlukan dan bantahan ini mendapat sokongan semua pihak dalam negara kita,” ujarnya.

Mengenai kenaikan harga barang 5 dalam 1, katanya ia dijangka akan menyebabkan kenaikan harga keperluan harian rakyat walaupun kerajaan beria-ria menafikannya.

Katanya, kalau enjin jet pejuang dalam kawalan Kementerian Pertahanan pun pun boleh hilang, apalah yang boleh diharapkan dengan kawalan kerajaan terhadap kenaikan harga barangan keperluan harian yang bakal naik.

“Enjin jet itu besar, terkawal, kuantiti tidak banyak pun hilang. Barangan keperluan harian ini banyak, kecil saiznya dan tidak ada tentera yang mengawalnya, bagaimana kerajaan boleh yakin ia boleh di kawal.

“Saya penuh yakin kerajaan tidak mampu mengawalnya,” katanya.

Protes rancang turun ke jalan raya

Protes rancang turun ke jalan raya
Dzulfikar Mashoor & Nazri Abdullah
KUALA LUMPUR, 16 Julai: Gabungan Memprotes Kenaikan Harga Minyak (Protes) tidak menolak kemungkinan akan mengajak rakyat ke turun ke jalan raya ekoran tindakan kerajaan menaikkan harga petrol, diesel, gula dan gas petroleum cecair (LPG) mulai tengah malam tadi.

Penyelaras Protes, Dr. Mohd Hatta Ramli ketika memberitahu perkara itu berkata, tindakan itu bagaimanapun hanya akan diputuskan pada meyuarat Protes yang dijadualkan Ahad ini.

"Kita tidak menolak kemungkinan turun ke jalan raya dalam masa terdekat. Pengalaman kita yang lepas bila rakyat tunjukkan kemarahan, baru kerajaan sedar dan akur dengan kesusahan rakyat," katanya yang juga Ahli Parlimen Kuala Krai ketika dihubungi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak semalam mengumumkan Petrol RON 95 dan diesel naik 5 sen manakala RON97 tidak lagi diberikan subsidi. Ia tertakluk kepada apungan secara terkawal, dengan harga ditentukan oleh mekanisme harga automatik.

Manakala harga gula pula naik 25 sen kepada RM1.90, dengan gas LPG naik sebanyak 10 sen sekilogram.

Menurut Najib, dengan kenaikan yang didakwa sebagai 'penyelarasan harga' tersebut, kerajaan dijangka dapat menjimatkan RM750 juta perbelanjaan negara tahun ini.

Namun bagi Protes, strategi kerajaan itu akan terus membebankan rakyat biarpun kerajaan mendakwa kenaikan itu kecil dan tidak membebankan.

Menurut Hatta lagi, kenaikan tersebut mencerminkan bahawa senario ekonomi negara gagal dipulihkan seperti yang dicanangkan Najib melalui Dasar Ekonomi Baru (MEB) dan Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK10) sebelum ini.

"Kononnya akan tumbuh 6 peratus, tetapi kenaikan ini tentunya memberi jawapan sebaliknya," ujar beliau yang juga Bendahari PAS Pusat.

Dalam pada itu, beliau turut mempertikai tindakan kerajaan menguruskan perbelanjaan negara dengan tidak mengutamakan kepentingan rakyat.

"RM570 juta (subsidi) mahu diselamatkan, sedangkan kerajaan sanggup berpelanja lebih 800 juta untuk buat istana negara yang baru," ujarnya lagi sambil menganggap bahawa fizikal istana negara yang sedia ada masih dalam keadaan baik.

Sehubungan itu, katanya lagi, tindakan yang dianggap bijak oleh Najib, Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan I itu bakal meninggalkan kesan berantai pada rakyat.

"Najib mungkin anggap langkah itu bijak dan menguntungkan kerajaan, sedangkan kenaikan harga barang-barang ini sudah tentu memberi kesan berantai (seperti) inflasi dan kos hidup melambong naik," tegasnya lagi.

Mengulas dakwaan kerajaan bahawa pemotongan subsidi ini bagi menyediakan perbelanjaan yang lebih kepada sektor kesihatan termasuk Klinik 1Malaysia, Hatta berkata ianya sangat tidak wajar kerana Klinik 1Malaysia bersifat program politik Umno BN.

Semalam, Najib di depan perwakilan Umno Kedah menegaskan bahawa kenaikan harga barang-barang keperluan rakyat itu sebagai langkah mengurangkan subsidi yang selama ini ditanggung kerajaan.

Namun, beliau tidak pula menjelaskan langkah proaktif kerajaan dalam menangani isu rasuah, ketirisan serta pembaziran dalam urus tadbir kewangan negara yang sebelum ini dipercayai umum lebih besar dari angka RM570 juta subsidi yang telahpun dirampas balik daripada rakyat.

Kenaikan Harga: Tidak Prihatin Dan Tidak Bertanggungjawab

KENYATAAN AKHBAR

16 Julai 2010

Walaupun Dewan Rakyat telah bersidang sejak 7 Jun 2010, pengumuman kenaikan harga petrol, diesel, LPG dan gula langsung tidak dibincangkan di Dewan yang mulia itu. Pengumuman ini membuktikan Perdana Menteri dan kabinetnya tidak menghormati kedudukan Dewan Rakyat sebagai sidang tertinggi yang mewakili rakyat Malaysia. Dato’ Sri Najib sedar ahli parlimen baik dari Pakatan Rakyat mahupun dari Barisan Nasional tidak akan menyokong beliau kerana tindakan menaikkan harga tanpa menyediakan bantuan lain kepada rakyat adalah kebijakan yang tidak prihatin terhadap rakyat keseluruhannya.

Hakikatnya, kenaikan harga petrol, diesel, LPG dan gula ini adalah tidak bertanggungjawab kerana tidak ada tindakan proaktif untuk menyediakan mekanisme bantuan kepada golongan yang paling terkesan dengan kenaikan ini, sebelum pengumuman dibuat. Kerajaan Persekutuan telah mengumumkan rancangan pemotongan subsidi ini sejak tahun 2008 lagi atas alasan untuk menstrukturkan semula pemberian subsidi agar ia lebih memihak kepada golongan yang memerlukan. Sehingga kini, rakyat masih tertunggu-tunggu mekanisme bantuan tersebut. Pada masa yang sama, kenaikan demi kenaikan diumumkan.

Kenaikan harga gula sebanyak 28% sejak awal tahun ini (kenaikan 20 sen pada 1 Januari 2010, diikuti kenaikan 20 sen berikutnya pada 16 Julai 2010) sudah tentu akan mempunyai kesan kepada harga makanan. Kesan berganda daripada kenaikan harga petrol, diesel, LPG dan gula ini akan memberi tekanan kepada golongan berpendapatan rendah di bawah RM2,000 sebulan, yang mana 75% adalah Bumiputra yang kononnya dibela oleh Barisan Nasional.

Sasaran penjimatan sebanyak RM750 juta yang diumumkan Pejabat Perdana Menteri adalah sedikit berbanding dengan keborosan dan pembaziran yang berlaku akibat kelalaian Barisan Nasional. Semalam, Dewan Rakyat dimaklumkan bahawa perbelanjaan Jabatan Perdana Menteri telah mencecah RM3.8 billion pada tahun 2009 dan dijangka mengatasi peruntukan RM3.9 billion bagi tahun 2010. Ini termasuklah perbelanjaan Sekretariat Mantan Perdana Menteri dan Sekretariat Permata yang dinaungi oleh isteri Perdana Menteri.

Malah, penjimatan RM750 juta itu tidak setanding dengan kerugian yang ditanggung rakyat apabila konglomerat milik rakyat iaitu Sime Darby mengalami kerugian sebanyak RM946 juta dan menerima pula pampasan dari kerajaan berjumlah RM700 juta.

Membebankan rakyat atas alasan mengurangkan defisit dan menggunakan penjimatan untuk menampung keborosan kerajaan seperti ini perlu dihentikan segera. Di mana letaknya maruah seorang Perdana Menteri yang mengambil wang rakyat atas nama penstrukturan subsidi dan digunakan untuk membayar perunding asing seperti APCO sehingga mencecah RM77 juta setahun semata-mata untuk menaikkan imej beliau, sedangkan bayaran kepada APCO itu hampir sama jumlahnya dengan anggaran penjimatan subsidi gula sebanyak RM126 juta (seperti diumumkan PEMANDU).

Pun begitu, saya tidak menolak bulat-bulat kaedah penstrukturan semula subsidi untuk memastikan lebih banyak bantuan sampai terus kepada golongan 75% di bawah pendapatan isi rumah RM2,000 sebulan. Penjimatan dari pengurangan subsidi sepatutnya disalurkan terus kepada golongan ini melalui mekanisme-mekanisme yang perlu diumumkan serentak dengan kenaikan harga.

Saya menuntut supaya Perdana Menteri mengumumkan secepat mungkin bagaimanakah penjimatan RM750 juta ini akan dibelanjakan untuk rakyat. Nasihat saya supaya penjimatan ini disalurkan dalam bentuk kenaikan peruntukan untuk institusi pengajian tinggi, pelaburan baru dalam bidang pendidikan dan bantuan kebajikan terus kepada golongan berpendapatan di bawah RM2,000 agar penjimatan itu sampai terus kepada rakyat.

Sebelum ini pun, kerajaan telah menggunakan alasan mengurangkan defisit apabila menaikkan harga minyak dan keperluan asas. Tindakan ini sedikit pun tidak membantu menyelesaikan masalah defisit negara, malah ia makin meningkat. Bagi tahun 2008, di kemuncak kenaikan harga minyak, defisit negara melonjak kepada 4.8% berbanding 3.2% bagi tahun sebelum itu. Keadaan ini berlaku kerana kerajaan tidak berdisiplin dan tidak ada iltizam politik untuk menyalurkan penjimatan dari pemotongan subsidi ke sektor-sektor yang benar-benar memerlukan, sedangkan pembaziran dan kerugian terus berlaku.

Sebab itu, saya telah menegaskan berkali-kali bahawa ubat yang paling mujarab untuk memulihkan ekonomi negara adalah reformasi ekonomi yang menyeluruh, bukannya tertumpu kepada golongan lemah semata-mata.

Perdana Menteri tidak boleh meminta rakyat mengubah cara hidup, sedangkan kroni-kroni, ahli politik, golongan elit dan berkepentingan terus menikmati subsidi korporat seperti subsidi gas kepada penjana bebas yang menelan belanja RM18.9 billion setiap tahun, 25 kali ganda lebih besar dari penjimatan akibat potongan subsidi yang diumumkan semalam.

Oleh itu, saya menggariskan empat langkah segera yang perlu diambil oleh Perdana Menteri untuk meyakinkan rakyat bahawa pengorbanan mereka menanggung harga yang lebih tinggi untuk mengekang defisit adalah berbaloi:

1. Mengumumkan penambahbaikan drastik kepada kaedah dan sistem perolehan yang diamalkan kerajaan agar lebih telus dan mendapatkan nilai terbaik untuk rakyat;

2. Menstrukturkan semula pemberian subsidi gas kepada IPP agar penjimatan ini dapat disalurkan kepada rakyat;

3. Mengawalselia prestasi syarikat berkaitan kerajaan dan agensi yang dipertanggungjawabkan menjaga dana awam bagi mengelakkan kerugian berbillion ringgit yang ditanggung rakyat; dan yang terpenting

4. Membuktikan keikhlasan dalam perang menentang rasuah dengan menghentikan campur tangan politik di dalam SPRM dan Jabatan Peguam Negara.

Rakyat akan ternanti-nanti tindakan susulan Perdana Menteri jika benar Barisan Nasional ikhlas dalam menangani kekusutan ekonomi negara. Jika tidak, pengumuman kenaikan harga petrol, diesel, LPG dan gula semalam hanyalah sambungan kepada rentetan penindasan rakyat berpendapatan rendah demi golongan elit dan kroni.

DATO’ SERI ANWAR IBRAHIM
Ketua Pembangkang

PAS seru naikkan kain rentang protes kenaikan

PAS seru naikkan kain rentang protes kenaikan
Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 16 Julai: PAS menyeru semua jentera penerangannya menaikkan kain rentang di pelusuk kampung sebagai tanda protes kenaikan harga barangan mengejut tengah malam tadi.

Ketua Penerangan PAS, Idris Ahmad berkata, tindakan itu juga bagi menyedarkan rakyat betapa 'prihatinya' pemimpin Umno kepada rakyat.

" Slogan “Terima kasih kepada kerajaan BN yang menaikkan harga minyak dan gula, “Bahagianya Rakyat Tanpamu BN” hendaklah dinaikkan untuk menanamkan kesedaran sivik dan politik di negara ini," katanya dalam satu kenyataan.

Selain itu beliau turut menyeru kerajaan Umno BN agar menyerahkan kuasa secara terhormat kepada Pakatan Rakyat untuk mentadbir negara dengan lebih baik.

Pakatan Rakayat di beberapa negeri yang dikuasai katanya, telah menunjukkan kebolehan menjaga rakyat dengan lebih baik berbanding kerajaan Umno.

"Contohnya Kedah yang terpaksa memikul bebanan hutang dan pembaziran di zaman Umno 52 tahun hampir RM3 bilion, masih mampu urus tadbir dengan baik, begitu juga dengan Kelantan yang berjaya mentadbir selama 20 tahun.

"Ketika Kerajaan BN yang hampir lumpuh dari segi kewangan untuk mentadbir negara, tiba-tiba kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor mencari berbagai idea untuk mengagihkan kekayaan negeri kepada rakyat seperti percuma, tusyen percuma, skim Kifalah, Tabung Warisan Anak Selangor (TAWAS), manaka BN pula merancang bagaimana hendak naik tarif air, tol, eletrik," katanya lagi.

Semalam, kerajaan mengumumkan kenaikan harga petrol sebanyak 5 sen menjadikan harga petrol Ron 95 RM1.85 sen dan gula sebanyak 25 sen menjadi RM 1.90 sen.

Menurut Idris lagi, Pas merasa pelik dengan pengumuman dibuat Najib, sedangkan beliau dengan rasa bangga sebelum ini menyatakan pertumbuhan ekonomi sebanyak 10.1 peratus dalam suku pertama 2010, pencapain terbaik dalam dekad ini.

"Sepatutnya sebagai kerajaan, ia perlu memikirkan bagaimana hendak menyenangkan rakyat di bawah jagaan mereka, sebaliknya kerajaan hari ini membebankan rakyat.

"Nampaknya kerajaan BN kontang idea untuk membaiki taraf hidup rakyat, yang mereka fikir naik harga barang dan sama ekor," katanya.

Tambahnya perkara ini dapat dielak jika kerajaan pada hari ini mengatasi masalah rasuah dan kroni.

Kerajaan berkira, sanggup rampas 5 sen duit rakyat

Kerajaan berkira, sanggup rampas 5 sen duit rakyat
Dzulfikar Mashoor

KUALA LUMPUR, 16 Julai: "Apa punya kerajaan, terlalu berkira dan sanggup rampas 5 sen dengan curi dari poket rakyat," kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar.

Kecaman demikian itu ditujukan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ekoran pengumuman menaikkan harga petrol RON95 dan diesel sebanyak 5 sen bermula tengah malam tadi.

Selain mengecam kenaikan harga minyak, beliau turut menjelaskan bahawa langkah menaikkan harga lima hingga enam barang keperluan asasi yang lain bukanlah langkah mengurangkan subsidi.

Sebaliknya, langkah tersebut menurut beliau, patut dilihat sebagai tindakan kerajaan menaikkan harga barang serta membebankan rakyat.

"Jangan terkeliru dengan pembohongan Najib kononnya kerajaan kurang subsidi, sebenarnya kerajaan naikkan harga barang-barang ini.

"Naik harga maknanya naik kos sara hidup, naik kos sara hidup maknanya membebankan rakyat," tegasnya lagi.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena turut menganggap Najib menghina rakyat dan institusi rakyat, iaitu Parlimen kerana Najib membuat pengumuman sejurus selesai sesi parlimen, petang semalam.

"Elok-elok selesai sesi Dewan Rakyat, baru dia (Najib) buat pengumuman tanpa membawa isu kenaikan ini dalam dewan.

"Dia hina rakyat, dia hina wakil-wakil rakyat, dia hina Parlimen, dia bohong kita semua kononnya dia sudah mendapat maklum balas positif tentang kenaikan ini," ujarnya lagi sambil mencabar Najib menjelaskan inti maklum balas sebenar rakyat seperti yang diumumkan semalam.

Beliau turut mempertikai alasan Najib kononnya kerajaan berjaya menjimatkan RM750 juta tahun ini dengan kenaikan beberapa bahan keperluan itu.

"Kalau RM750 juta itu satu langkah penjimatan, kenapa rakyat ditimpa rugi dari impak kenaikan harga barang-barang ini.

"Najib suruh rakyat berjimat cermat, sedangkan kerajaan sendiri masih laksanakan tender langsung, melalui Perimekar dapat komisyen RM570 juta beli Scorpene," jelas beliau lagi.

Sementara itu, Ahli Parlimen Jerai, Mohd Firdaus Jaafar mencabar Pemuda Umno Malaysia untuk menyatakan protes berhubung isu yang membabitkan kepentingan rakyat itu.

"Kenaikan-kenaikan ini umumnya lebih kurang RM4 sebab semua barang terbabit digunakan kita semua, Pemuda Umno bersukaria atau sedia terima cabaran menentang Najib.

"Pemuda PAS jelas menentang ini semua, pemuda Umno takkan sokong langkah bodoh ini," ujar beliau ketika menghubungi Harakahdaily.

Dengan kenaikan beberapa harga barangan keperluan itu, katanya lagi, wajar menjadi motivasi kepada anak muda untuk giat mendaftar diri sebagai pengundi.

Dengan berbuat demikian, tambahnya lagi, mempu mengukuhkan sokongan rakyat menolak BN pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) tidak lama lagi.

"Sokongan yang ada pun Umno takut, kena cepat-cepat daftar (pengundi) supaya kita makin kukuh untuk tolak kabinet Najib nanti," ujarnya lagi.