Saturday, March 6, 2010

GST akan miskinkan lagi rakyat Miskin: usaha kesedaran masyarakat

GST atau dalam bahasa Inggeris Goods and Services Tax adalah sejenis cukai di mana apa sahaja barang dan perkhidmatan yang digunakan oleh pengguna mengandungi elemen cukai. Sebab itulah ia juga dikenali sebagai cukai kepenggunaan (consumption tax). Dalam erti kata yang lain, asasnya jauh lebih luas daripada Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan yang ada sekarang.[link]

Dalam usaha menyedarkan rakyat tentang bebanan yang harus ditanggung sekiranya Cukai GST Goods & Services Tax ini berjaya dilaksanakan, satu aktiviti kesedaran masyarakat telah dijalankan oleh ahli Gabungan PROTES.

Edaran risalah ini bertujuan memberi pendedahan dan maklumat yang tepat mengenai GST yang akan dibentangkan untuk bacaan kali kedua di Parlimen yang akan bermula pada 15 Mac ini. (sumber harakahdaily).

Dengan usaha ini diharapkan rakyat yang membaca dan mencari maklumat akan mendapat pendedahan mengenai apakah sebenarnya GST dan mengapa kita berkeras untuk menolaknya dan mahu rakyat keseluruhannya bangun sama menolak rancangan ini yang hanya memberikan keuntungan kepada mereka yang punya wang untuk dibelanjakan dan disimpan.

berkumpul membuat perancangan sebelum bertindak dan bergerak.

GST akan miskinkan lagi rakyat rakyat miskin!

GST akan mengakibatkan 80% rakyat Malaysia mengalami penurunan pendapatan dan kualiti hidup. Ia juga akan mengakibatkan jurang antara yang kaya dan miskin menjadi sangat kebar.

Alhamdulillah dalam usaha pengedaran risalah ini secara tidak lansung kita dapat melihat dan mentafsir tentang sikap rakyat mengenai sesuatu isu yang sebenarnya mempunyai kesan yang besar dalam kehidupan rakyat.

Apakah rakyat mengambil tahu, ingin tahu, sudah tahu dan faham atau tidak ambil endah dan ambil pusing.

"Adik ambil risalah ni dan baca. Ianya mengenai GST, cukai tambahan dari kerajaan, semua rakyat akan menanggung cukai jika ianya dilaksanakan".

Dalam usaha melakukan aktiviti mengedarkan risalah kita tidak perlu malu dan segan kerana kita bukannya memaksa orang membeli atau menerima. Kita memberi maklumat dengan percuma. Kalau tidak ada masa membaca pun kerana sedang berjalan atau membeli belah, ambil, lipat dan simpan. Bila punya masa dan masih ingat tentang risalah itu, keluarkan dan baca.


Kita bukan sahaja menyerahkan risalah pada yang menerima, jika ada peluang kita akan cuba terangkan pada mereka, ada juga yang mengambil peluang untuk bertanya, maka mereka yang mengedarkan perlu ada maklumat dan faham terlebih dahulu, agar proses memberi maklumat lebih berkesan.

Kalau ada yang berjalan tanpa sudi untuk memandang kita maka jangan risau atau sedih kerana kita berusaha untuk mendidik, terpulang kepada seseorang, sebab itu mulut perlu ringan untuk menyapa mereka yang lalu lalang dan bukan sekadar menghulur bahan kerana mereka mungkin fikir yang tidak lain dari kita sedang mempromosi jualan dan khidmat.

"Encik, ambillah risalah ni, ada maklumat tentang satu cukai baru yang akan membebankan rakyat. Boleh ambil, lipat dan simpan kalau tak ada masa baca, Terima kasih"...satu contoh sapaan yang digunakan.

Cuaca pada tengahari tersebut memang terlalu amat panas. Dua orang wartawan Harakah dan Harakahdaily turut hadir membuat liputan untuk kemudiannya membantu menyampaikan kepada masyarakat melalui saluran media alternatif.

Ada yang terus membaca, maklumlah waktu tersebut adalah waktu sebelum masuknya waktu solat Jumaat dan aktiviti ini dijalankan sekitar kawasan Masjid India. Mereka yang punya masa luang sebelum masuknya waktu solat boleh saja membacanya dan mendapatkan maklumat.

Usaha pada tengahari sebelum masuk waktu solat Jumaat ini berjaya dilaksanakan. Masih lebih ramai rakyat yang perlu diberikan kesedaran tentang isu ini. Usaha edaran risalah akan terus dijalankan.

Bantah GST secara 'Hit and Run'-Harakahdaily

Bantah GST secara 'HIT and RUN'


Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 5 Mac: Sekretariat Protes Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) hari ini turun menyampaikan risalah berkaitan GST kepada masyarakat di sekitar Masjid India, Masjid jamek dan Jalan Tunku Abdul Rahman (TAR).


Edaran risalah yang dinamakan 'Hit And Run Protest GST' ini bertujuan memberi pendedahan dan maklumat yang tepat mengenai GST yang akan dibentangkan untuk bacaan kali kedua di Parlimen yang akan bermula pada 15 Mac ini.

Salah seorang sekretariat Protes yang mewakili PAS, Aiman Athirah Al jundi berkata, edaran risalah ini sangat penting kerana rakyat tidak diberikan penerangan yang tepat mengenai GST. Kerajaan sebaliknya sedang membohongi rakyat dengan mengatakan GST tidak akan melibatkan seluruh rakyat, dan hanya dikenakan kepada golongan berpendapatan tinggi sahaja.

"Tujuan kita untuk memberi kesedaran kepada orang awam apakah GST sebab kita difahamkan 70 peratus rakyat Malaysia menolak GST tetapi mereka menolak tanpa meklumat yang tepat. jadi kita nak bagitahu rakyat bahawa GST ini tidak seperti yang digembar-gemburkan Kerajaan bahawa kononnya ia tidak akan membebankan orang miskin.

(GAMBAR: Aiman Athirah menyerahkan risalah GST kepada orang ramai)

Di samping risalah menerangkan GST, turut diedarkan ialah 'handbill' mengajak rakyat turun ke Perhimpunan Aman Rakyat di perkarangan bangunan Parlimen pada Isnin, 15 Mac ini.

Pelbagai reaksi orang awam dapat dilihat ketika dihampiri sekretariat untuk menyampaikan risalah. Ada yang sudah tahu mengenai keburukan GST dan menerima risalah yang diberikan dengan senang hati, ada yang tidak tahu menahu tetapi sudi menerima risalah yang diberikan, ada yang takut-takut untuk menerimanya dan ada juga yang langsung tidak mengendahkan risalah yang disampaikan.


Aiman juga berkata, waktu dan lokasi berkenaan dipilih kerana ia merupakan lokasi tumpuan masyarakat kota dan sesuai dengan waktu rehat tengahari di samping golongan lelaki yang akan menunaikan solat jumaat pada waktu tersebut.

Sebanyak tiga ribu risalah dan 'handbill' dicetak untuk diedarkan pada hari ini.

Beliau juga memberitahu, pihak sekretariat akan mengerahkan ahli untuk mengedarkan 'handbill' dan risalah di masjid-masjid sekitar Lembah Klang dan Selangor dan juga negeri-negeri lain pada Jumaat depan, dua hari sebelum perhimpunan berlangsung agar lebih ramai rakyat hadir menunjukkan bantahan terhadap GST.

"Jumaat depan, kita akan edarkan risalah dan handbill di seluruh masjid di sekitar Lembah Klang dan Selangor, dan juga negeri-negeri lain," katanya yang juga Pengerusi Lajnah Penerangan dan Dakwah Dewan Muslimat PAS Pusat.

Protes juga ujarnya dalam usaha membukukan maklumat mengenai GST untuk diedarkan kpeada rakyat secara percuma.

Turut bersama, Setiausaha Dewan Pemuda PAS Pusat, Kamaruzaman Mohamad, Naib Ketua Angakatan Muda Keadilan (AMK) Khairul Anuar Ahmad Zainudin dan wakli Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) Nashita Md Noor.

Thursday, March 4, 2010

GST: Tidak ada cukai yang tidak membebankan — A. Kadir Jasin

DIS 2 — Pada 29 November, Bernama memetik Menteri Kewangan Kedua Datuk Ahmad Husni Hanadzlah sebagai berkata kerajaan telah menjalankan kajian yang “agak lama dan komprehensif” mengenai rancangan pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

Saya tidak berhasrat berbahas mengenai semantik dengannya, tetapi saya rasa kurang selesa apabila dia berkata kajian itu “agak lama dan komprehensif.”

Mengapa agak lama dan agak menyeluruh? Mengapa tidak lama dan menyeluruh? Bagi cadangan yang sangat penting macam GST ini, kerajaan tidak boleh main agak-agak.

Kerajaan wajib tahu dan yakin bahawa pelaksanaannya nanti tidak menjejaskan kesejahteraan rakyat seperti yang Ahmad Husni janjikan.

Cukai dalam apa bentuk sekalipun akan menjejas kesejahteraan orang atau pihak yang membayarnya. Sebab itulah macam-macam cara dan kaedah diperkenalkan oleh pemerintah di dunia bagi mengurangkan beban dan persepsi negatif percukaian.

Dalam keadaan paling teruk atau ekstrem, tindakan memperkenalkan cukai baru atau menaikkan kadar cukai yang sedia ada telah mencetuskan rusuhan dan dalam hal-hal tertentu telah menjatuhkan kerajaan.

Di negara kita sendiri, cadangan GST ini sudah lama dibuat tetapi tidak dilaksanakan kerana kerajaan kurang yakin dan kurang pasti kesannya kepada pembayar cukai dan pengguna.

Yang pasti adalah kerajaan tidak ada kerajaan yang akan memperkenalkan GST atau apa juga cukai jika ia tidak menambah hasil (pendapatan) perbendaharaan.

GST atau dalam bahasa Inggeris Goods and Services Tax adalah sejenis cukai di mana apa sahaja barang dan perkhidmatan yang digunakan oleh pengguna mengandungi elemen cukai. Sebab itulah ia juga dikenali sebagai cukai kepenggunaan (consumption tax). Dalam erti kata yang lain, asasnya jauh lebih luas daripada Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan yang ada sekarang.

Kali terakhir GST dibangkitkan adalah pada tahun 2004 apabila Pentadbiran Tun Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan yang cukai itu akan dikuatkuasakan mulai 1 Januari, 2007.

Bagaimanapun, menjelang tarikh itu Pentadbiran Abdullah mengalami krisis kewibawaan dan keyakinan yang serius dan banyak cadangan tidak dilaksanakan.

Bercakap kepada pemberita di Gopeng, Ahmad Husni berkata sebanyak 143 buah negara telah melaksanakan GST. Dalam Asean hanya Malaysia, Brunei dan Myanmar yang belum memperkenalkannya.

Ini bermakna GST menjadi pilihan kerana ia adalah sistem percukaian yang paling luas asasnya dan paling produktif. Ahmad Husni berkata kerajaan menjangka pendapatan tahunan meningkat RM1 bilion dengan pelaksanaan GST bagi menggantikan Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan.

Pada 21 November, Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan yang rang undang-undang berhubung GST akan dibentangkan untuk bacaan pertama pada akhir sidang Dewan Rakyat sekarang.

Cara pemerintah dan media massa kawalannya menghebah dan memperjelaskan GST akan menentukan penerimaan atau penolakan rakyat jelata terhadapnya. Ini sangat relevan kepada Barisan Nasional kerana pelaksanaan cukai baru itu hampir dengan pilihan raya umum akan datang.

Menurut Ahmad Husni, GST dijangka dilaksanakan 18 bulan selepas bacaan kedua rang undang-undang pada Mac tahun depan. Ini bermakna cukai itu akan berkuat kuasa sekitar Ogos atau September 2011.

Logiknya kadar GST lebih rendah daripada kadar Cukai Jualan (5-15 peratus) dan Cukai Perkhidmatan (lima peratus). Di negara jiran Singapura kadar GST adalah tujuh peratus manakala Negeri Thai dan Indonesia 10 peratus. Ada ramalan mengatakan kadar yang akan dikenakan di Malaysia lebih rendah daripada itu — di sekitar lima peratus.

Seperti yang pernah dihujahkan oleh ketua bahagian percukaian tidak langsung firma perakaunan KPMG, Philppe Norre, cukai GST perlu dirangka dengan sebegitu rupa agar berkesan dan di masa yang sama tidak menyusahkan pembayar cukai.

Beliau berkata hanya bahan makanan asas dan perkhidmatan seperti kesihatan, perubatan dan pendidikan perlu dikenakan cukai paling rendah. Satu struktur yang mudah dengan hanya satu atau dua kadar adalah lebih berkesan dan berjaya. Tambahnya kebanyakan negara yang mengamalkan GST mengenakan satu kadar sahaja.

Kesimpulannya, pertama, tidak ada cukai yang tidak membebankan. Itulah sebabnya dalam bahasa ekonomi, kewangan dan fiskal disebut beban cukai (tax burden). Bagi GST ini, beban yang dianggarkan adalah RM1 bilion yang berupa penambahan hasil kerajaan.

Kedua, pelaksanaan GST jika tidak diawasi dengan ketat akan diperalat dan dimanipulasikan oleh pengeluar, pengedar dan peruncit untuk menipu (profiteering).

Di sinilah kita meletakkan satu lagi penanda aras kepada KPI Perdana Menteri kerana dia juga adalah Menteri Kewangan. Idea dan pelaksanaan GST kini menjadi tanggungjawab mutlak beliau.

Dan ketiga, tambahan hasil cukai daripada GST akan hanya memanfaatkan pembayar cukai dan rakyat jelata jika dibelanjakan dengan berhemah. Rekod pencegahan pembaziran dan penggunaan berhemah tabungan negara oleh sector awam belum cukup meyakinkan. — kadirjasinblogspot

diambil dari Malaysian Insider

PAS nekad bantah GST, pengurangan cukai pendapatan hanya untungkan orang kaya

PAS nekad bantah GST, pengurangan cukai pendapatan hanya untungkan orang kaya

Posted by RAKYAT MARHAEN Khamis, 2010 Mac 04

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) membantah cadangan Kerajaan Barisan Nasional yang nekad melaksanakan Cukai Perkhidmatan dan Barangan (GST) dilaksanakan menjelang pertengahan 2011 bagi mengantikan cukai perkhidmatan dan jualan sedia.

Pada masa ini kedua-dua cukai itu masing-masing berada 10 peratus dan lima peratus, tetapi hanya meliputi barang mewah sahaja dan bukannya barangan keperluan utama. Walaupun GST hanya 4 peratus tetapi ia akan melibatkan ke semua jenis barang termasuk barangan keperluan utama yang dikawal.

Strategi Kerajaan yang mahu mengurangkan cukai pendapatan dan korporat secara beransur-ansur bagi mengurangkan beban pengguna ini juga dilihat tidak logik kerana pembayar cukai pendapatan dan syarikat hanya melibatkan mereka yang berkemampuan, sedangkan cukai GST akan melibatkan semua lapisan rakyat termasuk mereka yang tidak berkemampuan.

GST akan menyusahkan ibubapa yang mahu membeli susu untuk anak-anak mereka, peniaga restoran juga terpaksa menaikan harga makanan jika beras, ikan, daging, ayam dan sayuran dikenakan cukai. Mereka yang hidup diluar bandar pasti akan lebih terasa kerana barangan keperluan yang dihasilkan dikilang akan meningkat dalam pasaran.

PAS juga melihat pembatalan cadangan penstrukturan semula subsidi Petroleum tidak memberi apa-apa makna, kerana bila GST 4 peratus dilaksanakan, kemungkinan harga minyak bercukai ini akan naik sebanyak 10 sen seliter atau lebih dari itu.

Harga tambang perkhidmatan juga kemungkinan akan berubah dengan peningkatan sebanyak 4 peratus. Bayangkanlah nasib pengguna perkhidmatan Komuter, LRT, Bas dan kapal terbang dimasa depan dengan cukai ini.

Bagi barangan yang dihasilkan dalam kilang pengguna berkemungkinan menerima cukai GST 8 peratus kerana 4 peratus dikenakan oleh pengilang dan 4 peratus dikenakan melalui pemborong atau penjual dipasaran.

Rakyat harus membuka mata terhadap isu ini dan PAS nekad membantah dasar GST demi kepentingan rakyat keseluruhannya.

Ust Idris Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat

Himpunan Besar-besaran Bantah GST-Malaysiakini

Sekumpulan pertubuhan hak asasi manusia dan parti-parti pembangkang akan berhimpun secara besar-besaran bagi membantah pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) apabila Dewan Rakyat bersidang 15 Mac ini.

Kumpulan yang menamakan diri mereka sebagai Protes, berharap berjaya menarik perhatian fYang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin, yang dijadualkan tiba di bangunan Parlimen pada jam 9 pagi.

Rang undang-undang cukai barangan dan perkhidmatan itu akan dibentangkan untuk bacaan kedua pada sidang Dewan Rakyat akan datang.

Menurut penyelaras Protest, Dr Hatta Ramli (atas, dua dari kiri), kumpulan berkenaan membantah pelaksanaan GST kerana ia membebankan golongan miskin.

"Kami mahu Yang di-Pertuan Agong memahami dan melihat sendiri bahawa rakyat menentang GST," jelasnya pada sidang media di markas PAS, hari ini.

Perhimpunan itu, katanya akan dijalankan secara aman dan tidak akan menganggu kelancaran lalu lintas.

"Kami jangkakan ia adalah bantahan yang paling aman dalam sejarah Malaysia kerana kami tidak mahu sidang Parlimen terganggu," sambungnya.

Justeru, menurut ahli parlimen Kuala Krai itu, kumpulannya tidak bercadang memohon permit.

"Menurut bancian yang dijalankan oleh badan bebas, sebahagian besar rakyat Malaysia menolak GST," katanya.

Jom Turun Ramai-ramai Bantah!!!