Saturday, March 13, 2010

Mesti Baca: Apa Hak Anda Bila Berdepan dengan Polis

Sebagai persediaan menuju ke tarikh yang bakal mengukir satu lagi sejarah perjuangan rakyat untuk rakyat, kami mengambil peluang untuk berkongsi tulisan dari YB Saari Sungib mengenai hak-hak kita dan apa yang harus kita lakukan apabila kita ditangkap.

Tulisan ini tidak sama-sekali bertujuan untuk menakut-nakutkan kita dari turut serta dalam perhimpunan Bantah GST tetapi ianya adalah sebagai maklumat dan persediaan.

Kita sedar kemungkinan tangkapan berlaku adalah sentiasa ada, walaupun kita akan berhimpun secara aman dan menggunakan hak yang termaktub dalam perlembagaan Malaysia Artikel 10, hak berhimpun dan bersuara.

Tulisan di bawah ialah satu siri tulisan yang mendidik khas untuk tujuan perhimpunan BERSIH yang diadakan pada 10hb November 2007. [link]

Harakahdaily – Saari Sungib
Sun | Nov 04, 07

Jika saudara ditangkap atau ditahan oleh polis, saudara mesti tahu perkara-perkara berikut:

* Saudara mesti diberitahu oleh polis secara jelas bahawa saudara ditahan.

* Saudara boleh diarahkan oleh polis agar tidak meninggalkan suatu tempat yang ditetapkan oleh mereka pada masa itu disebabkan mereka telah menangkap saudara.

* Saudara juga boleh dihalang secara fizikal oleh polis daripada meninggalkan suatu tempat yang telah ditetapkan oleh polis sebagai tanda bahawa saudara sudah ditangkap oleh mereka.

* Dalam apa keadaan sekali pun, sekiranya saudara tidak bertindak agresif atau melawan, polis tidak berhak untuk bertindak kasar dengan memukul, mengetuk, menyiku, menumbuk, menendang atau melakukan apa-apa sahaja perbuatan ganas terhadap saudara!

* Saudara MESTI diberitahu oleh polis apakah sebab saudara ditangkap atau ditahan oleh mereka.

* Saudara boleh bertanya kepada polis kenapa saudara ditangkap. Sekiranya pihak polis gagal memberitahu apakah sebab saudara ditangkap, beritahu kepada mereka bahawa saudara tidak anggap diri saudara ditangkap oleh mereka. Ucapkanlah kata-kata ini dengan sopan dan secara jelas.

* Saudara mungkin digari oleh polis semasa mereka menagkap saudara. Saudara boleh meminta agar gari saudara dibuka pada masa itu juga. Walau bagaimanapun adalah menjadi budi bicara pegawai polis yang menangkap saudara sama ada mahu terus menggari atau membuka gari saudara.

* Sekiranya gari yang digunakan ke atas saudara adalah jenis yang menyakitkan kerana mencengkap tangan saudara (gari Siam!), beritahu polis untuk menukarkan gari tersebut dengan gari jenis yang diluluskan oleh undang-undang. Gari Siam adalah sejenis gari yang tidak sah untuk digunakan terhadap tahanan polis. (Gari Siam hanya digunakan oleh penyangak dan penjenayah profesional!)

* Jika semasa ditangkap saudara ada membawa ubat-ubatan keperluan saudara ataupun barang-barang lain, saudara boleh memohon agar barang-barang tersebut dibenarkan untuk dibawa bersama saudara.

* Jika pegawai polis yang membuat tangkapan mahu merampas ubat-ubatan, telefon bimbit dan barang-barang saudara, beliau mesti menyediakan satu salinan barang rampasan dan meminta saudara menandatangani senarai tersebut.

* Polis tidak boleh merampas sebarang milik saudara tanpa menyerahkan kepada saudara satu senarai barang rampasan.

* Jika polis merampas barang-barang tersebut daripada saudara tanpa menyerahkan senarai barang rampasan, hendaklah saudara buat laporan polis sebaik sahaja saudara berpeluang melakukannya. Tindakan polis merampas barang-barang saudara tanpa menyerahkan senarai barang rampasan adalah satu perbuatan mencuri!

* Hafal nombor polis di baju mereka. Jika mereka tidak memakai sebarang nombor atau tanda nama, mereka sedang melakukan satu pelanggaran terhadap undang-undang. Cam muka mereka baik-baik!

Ingat, dalam kerja-kerja polis menangkap saudara biasanya banyak berlaku pelanggaran undang-undang dan pencabulan hak asasi manusia dilakukan oleh mereka. Ingatkan semua perkara ini agar mudah nanti saudara mengheret anggota polis yang terlibat dan kerajaan ke mahkamah. Jangan takut!

Tulisan ini mempunyai 4 siri: Sila klik di link di bawah untuk membacanya. Moga bermenafaat untuk kita pada setiap masa tangkapan berlaku.

Siri II

Siri III

Siri IV


No comments:

Post a Comment