Thursday, March 11, 2010

Pendirian FMM tolak GST dianggap ‘undi tidak percaya’!

Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar menganggap pendirian Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) meminta kerajaan menangguhkan hasrat melaksanakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) sebagai ‘undi tidak percaya’ pada polisi percukaian itu.

“Tuntutan FMM itu boleh disifatkan sebagai undi tidak percaya oleh ‘masyarakat perniaga’ terhadap kerajaan BN (di bawah) pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak (Perdana Menteri),” jelas beliau ketika menghubungi Wartawan pagi tadi.

Menurut Mahfuz, sekiranya pengusaha kilang sendiri secara terbuka menolak cukai tersebut, maka ‘masyarakat konsumer’ lebih-lebih lagilah menolak cukai yang nyata menambahkan beban hidup rakyat terbanyak di Malaysia.

Penolakan oleh ‘masyarakat peniaga’ dan ‘masyarakat konsumer’ terhadap cukai itu, mungkin disebabkan mereka tidak percaya dengan tahap integriti yang ada pada kepemimpinan Najib hatta kerajaan sendiri.

Sehubungan itu, beliau mengulangi desakannya sebelum ini, iaitu menggesa kerajaan membatalkan niat untuk membaca rang undang-undang berkaitan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) untuk kali kedua di Dewan Rakyat yang dijadualkan pada 15 Mac depan.

Mewakili PAS serta Ahli Parlimen PAS di Dewan Rakyat, beliau turut menyatakan sokongan padu terhadap pendirian serta inisiatif yang disuarakan oleh FMM.

Bagi beliau, pendirian FMM itu adalah selari dengan ketetapan yang dibuat di majlis meja bulat Lajnah Pengguna PAS Pusat sebelum ini.

Pun begitu, Mahfuz menegaskan bahawa usaha mendesak kerajaan menangguhkan penguatkuasaan GST tersebut bukanlah disebabkan sistem cukai tersebut dinilai tidak adil.

Tegasnya lagi, pendirian Majlis Pakatan Rakyat menolak GST juga bukanlah disebabkan bukanlah disebabkan sistem cukai tersebut dianggap tidak saksama, adil dan menguntungkan rakyat.

Sebaliknya, menurut Mahfuz, desakan tersebut ekoran PAS serta Pakatan Rakyat melihat kerajaan gagal dalam menguruskan masalah pengurusan kewangan negara sehingga berleluasanya budaya pembaziran dalam perbelanjaan sektor perkhidmatan, rasuah, ketirisan dan amalan kronisme yang membabitkan beberapa pusat janakuasa bebas (IPP) serta syarikat konsesi lebuhraya.

Menyedari hakikat itu, kata Mahfuz lagi, sekiranya Pakatan Rakyat diberi peluang menggantikan Umno memerintah tanah air, beliau mencadangkan tender terbuka dalam jual beli permit import (AP) kenderaan.

Dengan berbuat demikian, beliau malahirkan rasa yakin bahawa kerajaan boleh mencapai pendapatan yang lebih tinggi daripada konsumerisme rakyat, sebelum membuat perhitungan akhir untuk melaksanakan GST atau tidak.

Dalam pada itu, beliau turut mengkritik kaedah beberapa pemimpin kerajaan memperbodohkan rakyat dengan alasan yang dangkal, iaitu pendirian Malaysia mahu melaksanakan GST kerana mengikut sistem percukaian kebanyakan negara-negara maju.

Sedangkan, kata Mahfuz, kerajaan tidak pula menjelaskan bahawa pendapatan di negara-negara maju terbabit sebenarnya jauh lebih tinggi dan lumayan, jika dibandingkan dengan pendapatan kebanyakan rakyat di Malaysia.

Tambahnya lagi, dari 12 juta pekerja di Malaysia, hanya 15 peratus sahaja yang mencapai kadar pendapatan yang melayakkan mereka untuk dikenakan cukai pendapatan sebagaimana pendapatan pekerja di negara-negara maju.

Di samping itu, kata Mahfuz, dari 28 juta penduduk Malaysia, hanya 6.4 peratus sahaja diketegorikan sebagai konsumer yang layak dikenakan cukai jika diukur pada tahap pendapatan perkapita seperti di negara-negara maju.

Manakala, 93.6 peratus penduduk Malaysia yang lain tidak mempunyai pendapatan pada paras yang memerlukan mereka membayar cukai pendapatan seperti yang diamalkan oleh negara-negara maju.

Dengan erti kata yang lebih mudah, menurut Mahfuz, jika GST dilaksanakan di Malaysia, bermakna 93.6 peratus rakyat yang sepatutnya tidak layak dikenakan cukai kerana pendapatan rendah, akan dibebankan dengan cukai GST.

Mengambil kira realiti beban yang bakal ditanggung oleh konsumer di tanah air, Mahfuz berhasrat membawa usul menarik balik rang undang-undang GST dari dibaca untuk kali yang kedua di Dewan Rakyat pada 16 Mac kelak.Justify Full

Semalam, Ketua Unit Tugas GST FMM, Datuk Lee Kim Auw turut menyarankan kerajaan menunda hasrat melaksanakan GST sehingga pendapatan rakyat terbanyak rata-ratanya lebih tinggi dari realiti pendapatan rakyat tempatan sekarang.

dari blog [link]


1 comment:

  1. ala GST akan menyebabkan mereka tak leh lari cukai macam sebelum ini....ingat orang bodo sangat ke....kalau nak tunggu orang semua berpendapatan tinggi tak kemana jugak...sebab cukai sekarang lagi tinggi....apalah bodo sangat rakyat malaysia nih....

    ReplyDelete